Coretan ini bukanlah menandakan aku baru nak masuk umur 40 tahun. Tarikh keramat itu sudah pun berlalu beberapa tahun lepas. Adalah ramai kenalan yang baru melepasi “threshhold” 40 itu dan ada yang sedang mengira hari untuk mencapai umur 40. Ada yang baru kawin, ada yang baru menimang anak pertama, dan ada yang anak sudah pun masuk kolej. Majoritinya sudah mempunyai anak yang sudah melangkah ke alam sekolah menengah. Beberapa bulan lalu, ketika berjumpa dengan kawan lama, kami tertanya-tanya tentang beberapa sahabat yang tidak dapat dikesan. Minggu lepas kami mendapat berita bahawa salah seorang sahabat kami sudah pergi ke alam barzakh kira-kira 4 tahun lalu. Semoga Allah menempatkan beliau di kalangan orang-orang mukmin, Aaminn. Ertinya beliau tidak sempat pun mencapai umur 40, sudah pergi meninggalkan seorang balu yang tidak bekerja dan 4 anak.
Beberapa minggu lepas, aku mendapat mesej sms untuk mengikuti konsert Loudness di Life Center. Aku cuma jawab, “sorri bro, aku sudah bersara dari mengikuti muzik”. Entahlah, dulu-dulu masa remaja, muzik sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Tanpa muzik & lagu, seolah-olah tidak lengkap hidup, sunyi sepi rasanya dunia. Hampir semua “rock band” tempatan dan luar negara diikuti perkembangannya. Kaset-kaset baru ditunggu-tunggu keluarannya. Namun setelah beberapa tahun mengikuti kelas-kelas agama, meneliti pendapat-pendapat ulama, membaca terjemahan hadis-hadis Nabi SAW, minatku terhadap muzik kian pudar, dan hampir padam. Jika ditanya sekarang, adakah anda masih memerlukan muzik untuk melengkapkan hidup? Jawapanku hampir pasti TIDAK. Ada yang berhujah ianya harus sebagai salah satu bentuk hiburan yang diperlukan untuk memenuhi fitrah manusia. Aku memilih bentuk hiburan yang lain seperti memancing, berkhemah, bermain dengan anak-anak , melancong dan sebagainya.