Friday, October 22, 2010

Mampu Qurban

Bismillah,
Saban hari kita menerima jemputan kenduri doa selamat sempena pemergian sahabat handai dan saudara mara ke tanah suci. Rasanya baru saja kita menyambut ‘idil fitri, sekarang dah masuk musim haji pulak. Tak sampai empat minggu lagi kita akan menyambut ‘idil adha pula. Kebetulan semalam ustaz mengajar feqah menyentuh tentang hukum dan pelaksanaan ibadah qurban mengikut contoh amalan Rasululullah SAW dan para sahabat.

Ada dua pendapat tentang hukum melaksanakan ibadah kurban – antara wajib dan sunnah muakkadah, bagi yang mampu setiap tahun, bukannya sekali seumur hidup. Ustaz memberi contoh, katalah seorang yang mendapat gaji bersih dalam RM2,000 sebulan, dalam setahun sudah menjadi RM24,000. Berapalah sangat RM350-400 duit untuk satu bahagian lembu jika kita nak melaksanakan ibadah ini… Cuma dalam 1.5% sahaja. Layakkah kita mengatakan kita tergolong dalam kategori orang yang “tak mampu”?

Pemerhatian saya, masyarakat kita sangat meremehkan apa2 sahaja bentuk ibadat yang ada klausa “sekiranya mampu”. Ini termasuklah dengan ibadah yang merupakan rukun Islam ke lima, menunaikan haji. Terus saja kita melihat diri kita ini sebagai hamba yang lemah, tidak berkemampuan untuk melaksanakannya. Pelbagai alasan kita boleh bagi untuk menunjukkan betapa “tidak mampu”nya kita.  Padahal boleh sahaja kita mendiami rumah berharga ratusan ribu RM,  memandu kereta berharga lebih RM50,000, mendapat bonus puluhan ribu setiap hujung tahun, dan kita masih menganggap diri kita “tidak mampu”. Tidak takutkah kita sekiranya dalam menunggu masa yang sesuai untuk kita me”mampu”kan diri kita, kita dijemput oleh Allah, mati kita seolah2 mati sebagai seorang yahudi atau nasara? 

Katalah kita memilih pendapat yang lebih ringan iaitu ibadah qurban itu sunnah muakkadah. Dalam amalan lain yang hukumnya juga sunnah muakkadah seperti solat  hari raya (ini pun ada ulama berpendapat ianya wajib), mengapa kita boleh melimpahkan masjid2? Begitu juga amalan solat tarawih pada malam2 Ramadan, mengapa kita bersungguh2 istiqomah melakukannya? Tetapi tidak dalam melakukan ibadah qurban? Seolah2 ada “double standard” di situ. Mungkin sebab kita melihat ramai yang melakukan sesuatu ibadah, maka kita pun terjun bersama-sama mereka. Bukan berdasarkan ilmu kita tentang ibadah tersebut. Sekiranya benar kita tergolong dalam kategori yang mengikut majoriti tanpa mahu meningkatkan tahap ilmu kita, marilah kita usahakan untuk terus mencari ilmu, sementara ruang ilmu masih terbuka luas untuk kita. Zaman sekarang, Maasya Allah, sangat banyaknya peluang kita untuk menambah ilmu dengan majlis2 ilmu percuma di masjid2, surau2, di alam nyata dan di alam maya, kitab2 telah banyak diterjemah ke dalam bahasa yang kita fahami, seminar2 dsbnya. Ayuh, mulakan langkah kita untuk terus menimba ilmu yang tidak ada pembatasnya. Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment