Sunday, December 12, 2010

Istilah Saudara Baru, Convert, Mualaf dan Kafir

Bismillah,


Di negara kita bila diucapkan kalimat “saudara baru” maka kita akan terbayang akan dia bukan dari bangsa kita, dan bukan dilahirkan dalam islam seperti kita. Juga dikenali dengan istilah “mualaf”. Padahal kita tahu bahawa setiap bayi yang baru lahir itu semuanya fitrah. Ibu dan bapanya yang bakal mencorakkan dia sama ada akan menjadi yahudi, nasrani ataupun majusi. Kita pun tahu bahawa islam itu adalah agama fitrah yang sudah menjadi amalan dan dibawa para rasul sejak zaman awal sejarah kehidupan manusia di bumi ini. Jika setiap bayi itu lahir dalam keadaan fitrah, dan islam itu agama fitrah, tidakkah sifirnya boleh dirumus sebagai setiap bayi itu islam?

Saya tertarik dengan peringatan yang selalu diucap dalam kuliah2 yang diberikan oleh seorang “saudara baru”, yang sudah berpuluh tahun memeluk islam dan terlibat aktif dalam dakwah di dalam dan di luar negara yang mengatakan mereka yang baru  memeluk islam itu tidak harus dipanggil sebagai “convert”, tetapi lebih sesuai disebut sebagai “revert”. “Revert” ertinya dia kembali semula kepada agama (fitrah)nya yang asal iaitu islam. Dan mereka yang sudah bertahun kembali kepada islam itu bukanlah lagi saudara baru kita tetapi mereka adalah sebenar2nya saudara kita, sama seperti saudara2 kita yang memang dilahirkan dan dididik dalam keluarga islam. Yang membezakan antara kita hanyalah taqwa. Malah dari segi kualitinya mereka mungkin lebih baik daripada kita kerana pada saat mereka mengucapkan syahadatain itu, mereka suci daripada segala dosa yang dilakukannya sebelum islam berbanding kita yang sudah mengumpul dosa sekian banyak untuk sekian tahun. Malah dengan rahmat Allah, segala perkara baik (good deeds) yang pernah mereka lakukan sebelum islam boleh saja memberi pahala kepada mereka. Bayangkan mereka ada pahala yang banyak, dosa2 mereka dihapuskan berbanding kita yang dosa bertimbun dengan pahala yang tak seberapa, betapa jauhnya nilaian kita di sisi Allah. Istilah mualaf juga tidak sesuai kerana ianya lebih merujuk kepada orang-orang yang dijinakkan hati untuk mengenal islam. Ianya termasuklah mereka yang belum lagi islam tetapi masih dalam peringkat mahu mengenali agama fitrah ini.

Begitu juga dengan istilah kafir kepada bukan islam. Ustaz yang sama juga selalu berpesan agar jangan mudah-mudah  kita memanggil seseorang non-muslim itu sebagai kafir sehingga kita sudah menyampaikan dakwah mentauhidkan Allah kepada beliau. Ertinya setelah jenuh usaha kita berdakwah terhadapnya tentang islam dan mengajaknya kepada islam, bila dia tetap berdegil malah menentang keras apa yang kita sampaikan kepadanya, barulah dia layak diistilahkan sebagai kafir. Cuba kita muhasabah balik dalam hidup kita, sudah berapa ramai orang yang kita sudah sampaikan mesej dakwah kepada mereka, hingga kita boleh dengan sewenangnya memanggil seseorang sebagai kafir. Menjadi fitnah besar kepada umat ini hinggakan ada yang menggelar saudara seagama mereka sendiri sebagai kafir hanya kerana beberapa perbezaan dalam agama. Mungkin perkara itu merupakan dosa besar namun selagi mereka masih mendirikan solat, tidak layak mereka yang berbeza dengan kita itu dipanggil kafir.

Saya diberitahu oleh seorang pendakwah “revert” bahawa setelah 50 tahun merdeka, kita hanya mampu mengajak 1% daripada rakan2 kita kepada islam di negara ini. Apa agaknya KPI umat islam di negara ini bila menyedari fakta ini. Ayuh kita mulakan langkah untuk menambah ilmu tentang islam dan sekurang2nya berusaha memulakan langkah pertama untuk berdakwah kepada umat sekeliling kita.

No comments:

Post a Comment